Thursday, January 7, 2010
Selamat bertemu kembali. Sering kali kita membaca berita di dada - dada akhbar tentang anak yang lari dari rumah. Seolah - olah menjadi satu 'trend' kepada anak - anak untuk lari dari rumah sekiranya di marah atau di tegur ibu bapa ataupun apabila kehendak mereka tidak di penuhi. Mereka tidak pernah memikirkan perasaan ibu bapa yang runsing dan bimbang dengan kehilangan anak mereka. Mereka juga tidak pernah memikirkan risiko yang bakal mereka hadapi sekiranya mereka keluar dari rumah seperti di bunuh, di jual, di dera dan seribu satu kemungkinan yang menakutkan.
Sajak ini di cipta khas untuk anak - anak yang lari dari rumah atau mempunyai niat untuk lari. Fikirlah beribu kali jika mempunyai niat sebegitu. Bagi yang telah melarikan diri, pulanglah ke pangkuan keluarga sementara kesempatan masih ada.....
NASIB SI IBU TUA
Wednesday, January 6, 2010
Kawan - kawan kenal tak pokok Philodendron ? Ia mempunyai pelbagai jenis dan warna daripada family Araceae. Antaranya Philodendron 'Anderson Red , Philodendron 'Emerald Red', Philodendron erubescens, Philodendron erubescens 'Gold', Philodendron 'Magnificum', Philodendron 'Tropical Sunrise', Philodendron 'Orange Fire', Philodendron 'Gold Fire', Philodendron ' Pink Sensation', Philodendron xanadu dan Philodendron selloum.
Hari ni saya nak kenalkan kepada kawan - kawan salah satu daripadanya iaitu Philodendron erubescens 'Gold' atau Philodendron 'Gold'.
Philodendron 'Gold' adalah sejenis pokok menjalar dan daunnya berwarna hijau kekuningan. Amat sesuai diletakkan di kawasan separa teduhan iaitu terlindung daripada pancaran kuat matahari dan amat subur jika mendapat air yang mencukupi. Pokok ini tidak boleh diletakkan secara langsung di bawah matahari yang terik kerana ia akan mengakibatkan pokok ini bertukar ke warna kecoklatan dan kelihatan kering.
Pokok ini cukup mudah untuk dibiakkan. Apabila pokok ini dibiarkan, ianya akan menjalar dan memanjat. Terdapat akar di bahagian batangnya yang tidak menjejak tanah. Potong sedikit batangnya yang mempunyai sedikit akar, sediakan polibeg atau pasu kecil yang berisi tanah campuran, buatkan lubang di tengah tanah campuran tersebut dan tanam keratan pokok tersebut. Kambuskan lubang disekeliling keratan pokok dan tekan sedikit tanah disekelilingnya supaya pokok boleh berdiri sendiri. Akhir sekali siram pokok yang baru ditanam. Mudahkan ?
Selain daripada dibiarkan merimbun di dalam pasu dan dibiarkan berjuntai ke bawah, pokok ini juga boleh dipacakkan kayu atau buluh di sebelahnya supaya ia dapat melilit kayu atau buluh tersebut ke atas.
Pokok ini juga boleh diletakkan didalam pasu kaca dengan sedikit air tanpa tanah atau kalau yang lebih kreatif lagi potong botol mineral, letakkan pokok Philodendron 'Gold' dengan sedikit air dan letakkan di atas meja pejabat anda atau di tepi tingkap ataupun di dalam bilik air bagi mencipta suasana segar yang sejuk mata memandang. Cubalah.....
Monday, January 4, 2010
Tahun 2009 telah melabuhkan tirainya dan tahun 2010 telah pun menjelma. Suka atau tak, bersedia atau tidak, yang pergi tetap akan pergi dan yang datang perlu disambut dengan rela hati. Banyak perkara pahit manis, suka duka yang di alami pada tahun 2009 dan ada yang terpaksa di sambung pada tahun 2010 ini. Hmmm... bagaimana dengan azam anda pada tahun ini ? Sebelum tu, azam tahun lepas dah tercapai ke ? Yang dah tercapai tu mungkin akan mengangguk kepala dengan penuh keyakinan. Yang belum tu, mungkin mengangguk perlahan sambil tersenyum kambing. Dalam hati berkata, " boleh sambung azam tahun ni ". Bagi yang berazam nak berhenti merokok tu (tiap - tiap tahun berazam tapi tak berjaya juga) tahun ni rasanya boleh tercapai sebab rokok dah naik harga. Bagi yang dah lama berazam nak kuruskan badan, tahun ni pun mungkin berjaya sebab gula pun dah naik harga. Tak payahlah makan benda manis banyak - banyak, buat dapat penyakit aje.
Apa pula azam saya ? Azam saya nak jadi pekerja, anak, isteri dan seorang ibu yang lebih baik. Tahun lepas tak baik ke ??? Bukan tak baik, maksud saya lebih baik daripada tahun - tahun sebelumnya. Tapi menjadi ibu kepada 5 orang anak yang masih kecil (tetapi aktif dan bijak) banyak cabarannya. Kadangkala menuntut kesabaran yang tinggi. Kadangkala tak sedar 'volume' terkuat daripada yang sepatutnya. Tak boleh juga terlampau baik dan lembut sangat. Nanti anak - anak pijak kepala. Satu lagi, saya berazam akan menjadikan blog ini blog kesukaan ramai. Namun ianya sukar menjadi kenyataan tanpa sokongan daripada anda semua...
Setiap orang mempunyai azamnya yang tersendiri. Ada yang unik, ada yang biasa - biasa. Apapun azam anda, saya berdoa agar anda dapat mencapainya. Berjaya atau tidak seseorang itu adalah daripada kemahuannya sendiri. Anda boleh jika anda rasa anda boleh lakukannya.....
Sunday, December 20, 2009
Selamat Datang Ke Blog D'SUTERAWANGI. Blog ni baru di bina, mungkin banyak salah dan silapnya. Namun saya cuba buat yang terbaik untuk tatapan anda semua. Umpama anak kecil yang baru belajar bertatih, tunjuk ajar dan komen yang membina dari anda semua amat saya harapkan agar blog ini bukan sahaja menjadi tempat persinggahan di masa terluang, tetapi juga menjadi tempat yang di tuju di kala anda buntu, menjadi teman di kala kesunyian juga sebagai tempat rujukan di saat anda memerlukan. Dengan cara yang santai dan bersahaja, semoga blog ini menjadi sahabat untuk anda semua.....










