Monday, March 29, 2010

















Salam mesra kawan - kawan. Ada satu berita atau tawaran menarik nak bagitau kengkawan nih. Dengarnya DBKL akan mengadakan Bazar Jualan Pokok atau Produk Landskap di taman - taman awam di sekitar Kuala Lumpur.


Kepada kawan - kawan yang berminat nak berniaga, atau sesiapa orang perseorangan atau company yang berminat untuk menyertai bazar jualan tersebut sebagai peserta atau peniaga secara tetap bolehlah hubungi Pegawai yang bertugas En. Ahmad Rizal di talian 019-3548660 atau email rizal8690@yahoo.com untuk mendapatkan maklumat lanjut.



Ianya terbuka kepada sesiapa yang berminat tetapi bergantung kepada terma dan syarat. Cepat..... tawaran adalah terhad !!!
p/s : gambar di atas sekadar hiasan sahaja.

Sunday, March 21, 2010

Bermula dari saat disahkan mengandung, kemudian mabuk alahan, ulang alik ke hospital, bersalin , berurut dan sekarang adalah fasa - fasa terakhir untuk seorang ibu iaitu berpantang. Kalau diikut -ikutkan hati malas betul nak berpantang ni. Tapi tak boleh, tak boleh. Kena berpantang gak.


Berpantang ni amat penting untuk ibu - ibu yang baru lepas bersalin. Ia tidak boleh dipandang remeh. Selepas bersalin, para ibu selalunya akan banyak kehilangan tenaga dan darah. Jadi tempoh berpantang selama 44 hari adalah penting untuk mengembalikan kesihatan si ibu. Ada ibu terutamanya ibu muda yang baru melahirkan seorang anak tidak mengambil berat tentang berpantang ini kerana mereka merasakan mereka kuat dan mempunyai banyak tenaga. Tapi percayalah, setelah usia meningkat, baru mereka akan merasakan sakit - sakit badan akibat tidak mengamalkan pantang.


Selain berurut untuk membetulkan urat, bertungku untuk melancarkan peredaran darah, si ibu juga perlu memakai pilis di kepala untuk menghilangkan pening, berbengkung untuk mengembalikan bentuk badan dan memakan jamu untuk mengembalikan kesihatan. Tapi awas, kalau boleh makanlah jamu setelah si anak benar - benar disahkan bebas jaundis atau sakit kuning kerana jamu itu panas. Si ibu juga perlu sentiasa memakai stoking dan baju sejuk untuk mengelakkan dimasuki angin.


Selain daripada itu si ibu terutamanya yang menyusukan anak perlu menjaga pemakanannya. Tidak boleh makan sebarang - sebarang terutamanya yang berangin seperti pucuk ubi, yang gatal seperti telur dan sea food, yang sejuk seperti sayur timun, kebanyakan buah - buahan dan yang paling - paling perlu dijauhi adalah meminum ais.


Selalunya ketika berpantang, saya hanya minum milo cicah biskut kering untuk sarapan, makan nasi dan ikan bilis goreng untuk tengahari dan malam serta minum milo dan quaker oat untuk minum petang. Boleh juga dijadikan diet untuk kuruskan badan.


Bila habis pantang dan mula masuk kerja selalunya saya akan kurus sedikit ( perasan ). Dan bila start kerja bermulalah fasa kenaikan berat badan kerana saya akan mengamalkan satu lagi pantang iaitu pantang jumpa. Huahuahua, tunggulah pizza hut dan yang sewaktu sewaktu dengannya..........

Tuesday, March 16, 2010

Selamat bertemu kembali kawan - kawan. Rindu rasanya dah lama tak berblogging. Namun apakan daya, kesihatan tak mengizinkan. Selepas bersalin badan jadi lemah. Nak jalan pun tak larat. Mana taknya, tenaga banyak hilang dan darah banyak tumpah. Sekarang ni dah ok sikit. Bolehlah bukak blog sikit - sikit.


Setelah habis menulis entry 'Biarkanlah aku menyerah saja' (tak sempat pingkan pun), saya pun masuk tidur. Pukul 1.30 pagi saya terjaga kerana dalam perut terdengar seperti bunyi ' tus '. Saya ingatkan air ketuban pecah, tapi tak keluar pulak. Perut terasa sakit sekejap - sekejap. Dalam hati saya berdoa agar cepat pagi supaya boleh terus hantar anak ke rumah baby sitter dan seterusnya terus pergi ke hospital. Saya cuba lelapkan mata sambil menahan kesakitan yang datang sekali sekala.
Oh tidak ! Saya dah tak tahan dah. Saya terus kejutkan suami pada pukul 2 pagi dan bersiap - siap untuk ke hospital. Anak - anak dibawa sekali. Di dalam perjalanan sakit semakin tidak tertahan hanya perkataan Allah yang mampu disebutkan. Rasa - rasanya mahu sahaja meneran sekarang juga. Pukul 2.30 pagi kami sampai di bahagian kecemasan bersalin dan saya terus disorongkan ke 'labour room'. Doktor - doktor dan jururawat - jururawat yang berada disitu bertungkus lumus menyiapkan peralatan untuk menyambut kelahiran sikecilku. Aku dinasihatkan supaya menarik dan menghembus nafas dan jangan meneran dulu.

" Doktor, dah nak keluar dah ". Kataku sambil menahan kesakitan. Ku pegang tangan doktor. Suami di sebelah menenangkanku. Tanpa mempedulikan apa - apapun lagi, aku meneran dengan seluruh tenaga yang ada. Tepat pada pukul 3.25 pagi, keluarlah anak kecilku, seorang baby girl dengan berat 3.43kg ke muka bumi dan disambut dengan penuh kesyukuran dan penuh kelegaan.

Syukur alhamdulillah kerana semuanya selamat dan berjalan lancar. Terima kasih kepada doktor dan jururawat yang menyambut kelahiran bayiku. Dan terima kasih juga kepada kawan - kawan blogger yang mendoakan kesejahteraan aku dan bayiku. Terima kasih semua.....

Sunday, March 7, 2010

Berat sungguh rasanya untuk membuat keputusan ini. Keputusan yang menyakitkan, keputusan yang mendebarkan. Namun aku nekad, sesuatu perlu kulakukan. Aku tidak boleh berdiam diri begitu sahaja kerana ada nyawa yang perlu kupastikan kehadirannya.

" Ibu nak pergi mana ?" Tanya anak sulungku yang bersekolah dalam darjah tiga. Aku yang sedang mengemas pakaianku dan memasukkannya ke dalam beg sebak seketika. Tanpa ku sedari airmata mengalir laju di pipi. Ku pandang wajahnya lama - lama. Hanya dia harapanku untuk menjaga adik - adiknya yang lain.



" Ibu perlu pergi sayang. Kakak jaga adik - adik kakak ye. Kakak anak sulung. Kakak kena tolong ibu. Kalau ibu tak ada nanti, kakak tolong ayah ye. Jaga adik elok - elok. Jangan gaduh - gaduh tau." Panjang nasihatku.
" Yelah, tapi ibu nak pergi mana ?" Tanya anakku sekali lagi. Aku hanya tersenyum sambil mengesat airmata. Kubiarkan soalannya tiada jawapan. Sambil itu begku yang telah penuh kuletakkan di tepi pintu. Esok senang nak bawa.
" Adik - adik mana? Senyap je." Tanyaku sambil mataku meliar mencari anak - anakku yang lain.
" Adik - adik dah tidur bu. Kakak pun nak tidurlah. Assalamualaikum, bu. " Ujar anak sulungku sambil mengucup pipiku.
" Waalaikumussalam." Jawabku sambil mataku mengiringi anakku keluar bilik.



" Dah siap ?" Tanya suamiku.
Aku hanya mengangguk sambil mengesat airmata yang tiba - tiba mengalir.
"Eh, mengapa menangis pulak?" Tanya suamiku.
" Sedihlah bang, nak berpisah dengan anak - anak. Kesian diaorang kecil - kecil lagi. Kalau saya tak ada, abang jaga mereka elok - elok ye. Kesian mereka, kecik - kecik dah nak kena berpisah dengan ibunya." Aku menangis teresak - esak.



" Eh, awak ni. Menangis pulak. Kan awak dah buat keputusan nak menyerah diri kat hospital bersalin tu. Tarikh bersalin dah sampai, tapi baby tak nak keluar jugak. Dah tu pergerakannya makin slow pulak. Pergi ajelah, biar doktor tengokkan. Kalau tak bersalin esok hari lain kena bersalin jugakkan. " Ujar suamiku panjang lebar.


Aku tertunduk malu. Memang aku dah buat keputusan nak menyerah diri ke hospital bersalin. Tiba - tiba emosionallah pulak.....

Wednesday, March 3, 2010

Salam sayang kawan - kawan. Entry kali ni berkenaan dengan followers. Semasa saya buat exercise blogwalking semalam, saya terbaca satu entry tentang follow - memollow ni. Menurut kata tuan punya blog, dia hanya akan follow blog yang dia rasa besh je. Blog yang tak besh, dia tak akan follow walaupun orang tu jadi follower dia. Itu pendapat dia, blog dia. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, semua orang berhak untuk beri pendapat. Keyboard dan mouse ada di tangan, nak follow, follow, tak nak tak pe. Tak ada paksaan. Saya rasa ramai yang berpendapat macam tu. Mungkin follower tu tak berapa penting bagi mereka.

Tapi, bagi saya, followers tu amat penting. Saya seorang yang suka mempunyai ramai kawan. Dan salah satu cara untuk mendapatkan kawan ialah dengan mempelawa mereka menjadi follower saya. Sebagai balasan, saya akan jadi follower dia pula. Adillah kan ? Saya tak boleh tapis mana blog yang besh atau blog yang tak besh sebab ianya terlalu subjektif. Kawan - kawan boleh bagitau ke blog mana yang besh dan tak besh ? Ada panel jawatankuasa yang diiktiraf ke ? Saya rasa semua tuan punya blog akan rasa blog dialah yang paling besh sebab semua entry dalam tu ada kena - mengena dengan dirinya. Blog orang walau bagaimana famous pun kadang - kadang tajuknya tak ada kena - mengena dengan diri kita.

Lagi satu, dengan mempunyai ramai followers ni ia bagaikan satu support atau sokongan pada kita untuk berblogging. Saya tahu ada orang akan baca entry yang saya tulis dan ini akan menaikkan lagi semangat saya. Blogger - blogger baru macam saya akan berasa diterima dan dihargai oleh kawan - kawan dalam dunia blogger ini. Bayangkan jika semua blogger hanya memilih blog yang besh je untuk difollow, blogger baru yang blognya belum nak berapa besh atau belum sampai ke tahap kebeshan yang dikehendaki tak ada pemollownya. Lama - lama blogger - blogger baru ni akan mati semangatnya dan blognya akan terkubur begitu saja. Itukah yang kita mahu?.

Saya tahu, kalau mempunyai follower yang ramai, kita tak boleh atau tak sempat baca semua entry - entry diaorang. Saya pun tak mengharap entry baru saya dibaca oleh semua followers. Yang penting, saya tahu ada orang yang baca. Cukuplah. Saya pun akan baca entry - entry diaorang kalau ada kelapangan. Bukan 24 jam nak ngadap blog je. Banyak kerja lain lagi nak kena bereskan.

Apapun, ini pendapat saya je. Tidak dipengaruhi oleh mana - mana individu mahupun parti - parti politik. Mana - mana blogger yang follow saya, saya akan follow balik. Dan kepada semua followers dan bakal follower, anda semua amat saya hargai dan kedatangan anda ke blog saya amat saya nanti. Jumpa lagi.....




Kisah Saspen Naik Teksi.

Pagi tadi saya buat check up kat hospital. Last check up sebelum bersalin. Dijangka bersalin hari Jumaat ni tapi kalau tak bersalin - bersalin jugak 14 hb kena serah diri kat hospital, kena paksa bersalin. Tengahari dah selesai dan saya pun tunggu teksi nak balik ke ofis.

Saya ni kalau naik teksi memilih sikit. Bukannya pilih teksi yang baru dan cantik tetapi kalau nak naik teksi saya akan tengok muka pemandunya dulu. Kalau tengok pakcik - pakcik atau uncle - uncle yang dah tua tu, saya naiklah. Tapi kalau muka cam tak caya je, buat saya teragak - agak, saya takkan naik. Ini sebagai langkah berjaga - jaga. Banyak email dan cerita yang saya terima dengan pelbagai kisah yang menakutkan. Ada cerita penumpang terbau sesuatu dan pengsan, tau - tau dah ada dalam semak, ada yang kena rompak dan macam - macam lagilah. Walaupun bukan semua pemandu teksi begitu, tapi mana kita tahu yang mana baik dan yang mana ada niat jahat, kan ? Jadi saya pilih - pilihlah dan ikut firasat saya.

Kali ni saya pilih teksi yang pemandunya adalah seorang lelaki cina mungkin dalam 40 ke 50an. Tengok oklah. Lepas beritahu destinasi saya, saya pun duduk di bahagian belakang. Teksi bergerak mengikut arah yang hendak dituju dan saya mula start nak berangan.

" Adik, saya mahu tanya pendapat adiklah ". Pemandu teksi itu bersuara. Saya yang mula nak berangan mula rasa tak sedap hati. Jarang pemandu teksi nak bersembang. Selalunya buat hal memasing je.
" Ada apa uncle ? " Malasnya nak layan. Tapi nanti orang kata tak hormat orang pulak.
" Isteri saya aaa, ada lelaki lain. Dia sudah zina sama lelaki tu. Saya pernah tangkap dia, dia janji tak nak buat lagi. Tapi dia still jumpa lelaki tu. Apa perlu saya buat ?". Tanya pemandu teksi.
Alamak, topik apa ni ? Apa tujuan dia buka topik ni ? Saya dah mula saspen.
" Tak tahulah uncle. Sekarang ni macam - macam yang berlaku. Tak tahu nak komen. " Kata saya. Malaslah saya nak masuk campur hal rumahtangga orang. Sambil tu mata saya meliar tengok jalan.

" Eh, uncle, kenapa tak masuk kiri ? " Tanya saya. Uncle ni buat saya gelabah.
" Depan sana boleh masuk ma. " Jawab uncle tu selamba. Saya tahu jalan depan tu boleh pergi ke ofis saya tetapi ia mengikut jalan dalam perumahan dan berpusing - pusing. Dan yang teruknya saya tak hafal jalan tu !
Sambil memandu uncle tu meneruskan ceritanya. " You nak tahu tak, isteri saya muka dia ada banyak pimple besar - besar. Mulut ada sikit depan. Apa orang melayu kata ? "
" Jongang ". Kata saya.
" Ha...nyongang. Saya ingat tak ada orang mahu ngorat. Rupa - rupanya ada orang mahu. Saya suruh dia lepaskan saya tapi dia nangis - nangis tak mahu. Kalau tak mahu mengapa masih jumpa lelaki tu ?" Tanya uncle tersebut.
Sambil camkan jalan saya menjawab " mungkin dia fikirkan anak, uncle." Dalam hati saya berdoa agar cepat sampai ofis.

" Mungkin la dia masih fikirkan anak. Tapi saya rasa aaa, isteri saya tu ada sedikit sakit mental. Dia punya kakak dulu...."
" Eh uncle, sudah mahu sampai la. Uncle berhenti kat simpang depan tu ye. " Betapa leganya hati saya nampak bumbung ofis. Malas saya nak layan uncle ni. Asyik nak kutuk isteri je.
" Sudah sampai ka ? RM 6.80 saja. " Kata uncle dengan wajah kecewa. Saya membayar tambang. Sambil membuka pintu nak keluar saya berkata, " Terima kasih uncle. Apa - apa keputusan uncle nak buat, tolong fikirkan anak - anak ye". Pemandu teksi itu mengangguk - angguk. Saya menutup pintu teksi dengan perasaan yang amat lega sekali.




Monday, March 1, 2010


Salam mesra semua. Bertemu kita kembali. Kalau ikut tajuk entry di atas, macam tengah happy je menghitung hari. Menghitung hari untuk apa tu ? Best sangat ke ? Best ? Happy ? Tak tahulah. Saya sekarang tengah menghadapi debaran yang hebat. Ya... minggu ini saya dijangka akan melahirkan anak. Dapat baby yang keenam. Jadi, tengah tunggu masa jelah ni.

Kalau nak lahirkan baby keenam, mengapa perlu berdebar lagi ? Kan dah banyak pengalaman. Memang saya dah banyak pengalaman. Tapi setiap kelahiran anak tu pengalamannya tak sama. Lebih - lebih lagi anak keenam. Kata orang, melahirkan anak keenam ni risikonya sama macam melahirkan anak sulung. Betul ke ?

Sekarang ni, nak jalan pun dah tak larat. Tidur tak lena, belakang sakit - sakit. Duduk bangun, naik tangga, angkat barang adalah sesuatu yang menyeksakan. Kaki pun rasa lenguh - lenguh semacam je. Kalau perempuan yang pernah mengalaminya, tahulah keadaan saya.

Sebenarnya, yang saya berdebarkan sangat, saya tak tahu bila betul - betul saya akan bersalin. Kalau bersalin secara operation, doktor dah tentukan tarikhnya lebih awal. Jadi apabila tarikh tu sampai, sebelum operation bolehlah hantar anak yang lain ke rumah pengasuh sebelum pergi ke hospital. Semuanya tidak kelam - kabut. Bersalin secara normal ni, walaupun doktor dah bagi tarikh, belum tentu saya akan bersalin pada hari tersebut. Boleh jadi seminggu awal atau seminggu lewat. Boleh jadi siang, boleh jadi malam. Bayangkan kalau tengah malam sakit nak bersalin, anak - anak yang lima orang tu nak hantar ke mana ? Wad bersalin hanya suami yang boleh masuk. Kanak - kanak tak boleh. Kadang - kadang tu saya terbaca dalam akhbar, perempuan bersalin dalam kereta kerana tak sempat sampai hospital. Minta - minta tak jadilah pada saya walaupun pernah terjadi pada jiran saya.

Tentang sakit bersalin, tak payahlah saya cerita. Bagi saya semua wanita yang pernah melahirkan anak, akan merasai sakit yang sama. Cuma apabila merasai sakit bersalin, saya akan teringat kepada arwah ibu saya. Betapa sakitnya dia ketika mahu melahirkan saya dulu.

Sekarang ni saya tengah siapkan barang - barang yang nak dibawa ke hospital. Barang - barang penting baby didalam bakul dan barang - barang saya didalam sebuah beg. Letak dalam kereta supaya senang bila masuk hospital nanti.

Kawan - kawan, tolong doakan saya ye. Seronok ada ramai kawan yang boleh meluangkan masa membaca luahan hati saya.Semoga semuanya selamat dan berjalan lancar. Lepas bersalin, bolehlah saya terus berblogging. Dan lepas pantang bolehlah saya meneruskan aktiviti kegemaran saya iaitu jalan - jalan cari pasal di Sogo. Oh, i miss Sogo... dan kedai - kedai di sepanjang jalan TAR, dan kedai - kedai di sepanjang jalan Masjid India hinggalah ke LRT Masjid Jamek.


;;