Friday, May 28, 2010

Selamat bertemu kembali kawan - kawan. Kali ini saya ingin memperkatakan tentang 10 perkara yang tidak boleh dilakukan di facebook. Facebook di ketika ini merupakan medium untuk seseorang meluaskan lagi rangkaian persahabatannya. Ianya amat popular pada masa kini dan menjadi kegilaan tidak kira tua muda, lelaki dan perempuan. Dengan facebook anda boleh menambah kenalan anda, berinteraksi dengan mereka, mengetahui perkembangan semasa dan menghubungi kembali kawan - kawan lama.

Namun disebalik semua itu ada beberapa perkara yang tidak boleh kita lakukan di facebook. Antaranya ialah :-

  1. Mendedahkan semua maklumat peribadi anda di facebook. Maklumat peribadi kita sebenarnya tidak perlu didedahkan kepada umum. Maklumat seperti alamat rumah, no. handphone, alamat email, alamat tempat kerja, maklumat bank dan sebagainya tidak perlu dinyatakan di dalam profail kita. Maklumat - maklumat ini hanya akan digunakan oleh orang yang berniat jahat untuk pelbagai tujuan yang memberi mudarat kepada kita.
  2. Mengupload semua gambar - gambar simpanan peribadi kita dari gambar kita semasa kecil, ketika bersekolah, dewasa dan gambar terkini bersama keluarga. Juga gambar anak - anak kesayangan kita. Dikhuatiri gambar - gambar itu digunakan oleh orang yang berniat jahat untuk menyamar sebagai saudara jauh kita yang tidak pernah kita jumpa dengan tujuan untuk merompak. Atau mereka menunggu anak - anak kita di sekolah dengan gambar yang ada pada mereka dengan tujuan dan niat yang jahat.
  3. Mendedahkan no. pin kad kredit anda kepada orang yang tidak dikenali. Jangan dedahkan no. pin kad kredit anda kepada sesiapapun atas alasan apa sekalipun. Kerana ia boleh menyebabkan anda kehilangan semua wang dalam akaun kad kredit anda.
  4. Meluahkan rasa marah anda pada seseorang di facebook. Walaupun anda yakin orang itu tidak mengetahuinya kerana tidak 'add friend' dengan anda, namun mungkin ada seseorang yang mengenali beliau dan menyampaikan perkataan anda itu. Kesannya anda mungkin akan bergaduh atau berperang dingin dengan orang tersebut.
  5. Mencabar seseorang di facebook. Pernah saya terbaca di akhbar seorang wanita muda diluar negara yang mempunyai 3 anak mencabar pemuda - pemuda liar yang selalu melepak berhampiran rumahnya di facebook. Akibat daripada itu, dua orang anaknya mati dalam kebakaran rumahnya yang dilakukan oleh pemuda liar tersebut.
  6. Mengata dan mengutuk majikan dan tempat kerja anda. Ada pernah berlaku seorang pekerja meluahkan kebosanannya bekerja di tempat kerjanya. Pekerja itu akhirnya dibuang kerja kerana ketuanya membaca luahannya itu.
  7. Melayan pertanyaan yang diberi oleh facebook yang adakalanya tidak berfaedah dan menjatuhkan maruah orang lain.
  8. Terlalu asyik berfacebook sehingga melupakan kerja - kerja yang perlu dibereskan segera sama ada ditempat kerja mahupun di rumah.
  9. Membuat pengumuman di facebook bila anda akan meninggalkan rumah seperti " yahoo...esok balik kampung...". Ini mendedahkan rumah anda kepada orang yang berniat jahat.
  10. Menceritakan keburukan suami / isteri / ibubapa / saudara terdekat atau hal rumahtangga di facebook. Walaupun tujuan anda hanya untuk bergurau, ini amat memberi kesan dan menjatuhkan maruah mereka.

Kesimpulannya, walaupun facebook memberi kebaikan mendekatkan kita kepada kawan - kawan namun kita perlu berhati - hati di atas segala perkataan kita di facebook. Berfikir dahulu sebelum membuat sesuatu pernyataan kerana bimbang akan memudaratkan diri kita sendiri. Selamat berfacebook dan salam sayang.....

0 Comments:

Post a Comment