Thursday, January 14, 2010
Kalau sebelum ni kita dah cungkil rahsia wanita, kali ini kita nak cungkil pula rahsia seorang lelaki. Dalam memilih pasangan hidup, lelaki sering berlandaskan kepada kecantikan. Tetapi kecantikan adalah sesuatu yang subjektif. Kecantikan yang macam mana sebenarnya yang menjadi pilihan lelaki ?. Adakah kecantikan rupa paras semata - mata atau ada kecantikan lain yang mampu menimbulkan pesona di hati lelaki ? Ada kita lihat lelaki tampan yang berpasangan dengan wanita yang kecantikan luarannya di tahap 'biasa - biasa' sahaja tetapi bagi lelaki tersebut, itulah wanita dambaan hatinya. Mari kita lihat ciri yang bagaimanakah yang lelaki inginkan dalam memilih seorang wanita sebagai teman hidupnya.
1 ) Bersifat keibuan
Ramai lelaki terpikat dengan wanita yang bersikap keibuan, lemah lembut, mengambil berat dan penuh kasih sayang. Wajah keibuan mampu membuatkan lelaki berasa tenteram walaupun ketika berada dalam tekanan. Apabila memandang wajah anda terutama ketika sedang tersenyum, akan melenyapkan segala permasalahan yang sedang dihadapinya.
2 ) Menghargai
Lelaki suka dihargai, dipuji dengan penuh keikhlasan dan diberi kepercayaan oleh wanita kesayangannya. Jangan sekali - sekali memandang rendah atau memperlekehkan mereka kerana ianya akan membuatkan lelaki berasa terhina dan berpaling daripada anda. Penghargaan daripada wanita akan membuatkan lelaki berasa bangga.
3 ) Menjaga penampilan
Lelaki menyukai wanita yang pandai menjaga penampilan diri sendiri agar sentiasa kelihatan cantik, kemas, bersih dan menarik. Wanita yang menjaga penampilan dirinya adalah wanita yang menghargai diri sendiri. Ia memancarkan pesona yang menyebabkan lelaki menyukai dirinya. Namun begitu menjaga penampilan janganlah keterlaluan seperti berpakaian seksi atau tidak sepadan dengan usia ataupun bermekap terlalu tebal untuk menarik perhatian lelaki. Bersederhanalah dalam segala hal.
4 ) Pandai bergaul dan menyesuaikan diri.
Wanita yang pandai bergaul dan menyesuaikan diri mempunyai lebih nilainya di mata lelaki.
Lebih - lebih lagi jika berada di kelompok keluarga lelaki. Sikap yang sopan, beradap dan menghormati orang tua terutama ibu bapa lelaki akan menyebabkan lelaki akan lebih menyayangi anda. Berusahalah mengambil hati kaum keluarganya dan jangan sekali sekali menunjukkan sikap tidak suka atau sengaja mencari pasal dengan adik - beradiknya.
5 ) Menghormati diri sendiri.
Lelaki juga suka kepada wanita yang menghormati dirinya sendiri sebagai seorang wanita. Tahu baik dan buruk serta implikasi diperlakukan sesuatu oleh seseorang lelaki terhadap dirinya. Kadang kala seseorang lelaki sengaja ingin menduga seseorang wanita itu sama ada ia mempunyai keyakinan yang teguh terhadap sesuatu perkara yang berlaku ke atas dirinya.
6 ) Pandai berbicara.
Lelaki selalunya tertarik dengan wanita yang pandai berkomunikasi dan boleh diajak berbual. Menjadi pendengar yang baik, memberi tindak balas dan pendapat yang baik, malah boleh mengalihkan topik yang agak serius kepada perbualan yang lebih menarik. Lelaki juga gemar kepada wanita yang suka bergurau dan pandai berjenaka serta boleh menerima jenaka dengan fikiran terbuka. Tetapi pandai berbicara di sini bukanlah bermaksud berbicara yang keterlaluan atau panjang lebar seperti membebel. Ataupun pandai berbicara sehingga berjaya mematahkan setiap tutur kata lelaki kerana itu akan membuatkan lelaki berasa bosan dan menjauhkan diri daripada anda.
7 ) Penuh pengertian.
Pengertian daripada wanita membuatkan lelaki berasa dihargai dan diterima seadanya. Jadilah seorang wanita yang mudah memaafkan dan memilih waktu yang tepat untuk berbincang masalah. Walaupun anda berasa marah terhadap pasangan anda, janganlah terus mengeluarkan kata - kata kasar atau terus menuduh yang bukan - bukan. Lihat dulu keadaannya sama ada dia baru balik kerja atau berpeluh - peluh ketika menemui anda. Biarkan dia minum dan berehat terlebih dahulu sebelum anda meluahkan ketidakpuasan hati anda.
8 ) Keanak - anakan.
Sesekali, sikap keanak - anakan seorang wanita menjadi daya tarikan di mata lelaki. Mereka berasa terhibur dengan keletah anda. Kemanjaan wanita boleh membangkitkan naluri kebapaan dan kelelakian. Namun begitu, sikap keanak - anakan mestilah dalam batas yang wajar. Jangan bersikap keanak - anakan yang melampau dan mengada - ngada sehingga membuatkan lelaki terus menjauhi anda.
9 ) Simpati dan prihatin.
Lelaki juga menyukai wanita yang selalu mengambil berat, bersimpati kepada mereka yang susah, murah hati, suka menolong orang lain, sayangkan kanak - kanak dan tidak memilih bulu. Ada kecantikan dalaman yang indah dan mempesona memancar pada diri wanita itu.
Labels: cantik, daya tarikan, kasih, kecantikan, lelaki, pesona, sayang
2 Comments:
-
- Anonymous said...
January 19, 2010 at 6:51 PMcaya lah..tip2 ni yg paling dinanti2kan..ahaks!- dsuterawangi said...
January 20, 2010 at 6:28 PMAmboi...