Tuesday, February 23, 2010

GERAMNYA......


Geramnya...isk isk isk. Geram betul saya. Rasa macam nak..... nak buat apa ye ? Entahlah. Tapi saya geram betul nih. Sabar - sabar. Tarik nafas.....hembus. Tarik nafas....hembus. Ok, push...push... Eh, itu nak bersalin nanti la... belum lagi.

Kawan - kawan nak tahu ? Hari tu saya ada appointment kat hospital di Cheras ni dengan doktor jantung. Jantung saya ni dikesan ada bunyi lain tapi apabila mengandung je. Kalau tak mengandung jantung saya ok je. Oleh kerana lagi 2 minggu nak bersalin, saya pun buat check up jantung.

Appointment saya pukul 10 pagi - 11 pagi. Jadi pukul 9 pagi saya dah datang hospital. Cepat sampai, cepat habis. Pukul 9.30 pagi saya diberi nombor 1084. Nombor yang dipanggil sekarang ialah 1001. Mak ai... jauh lagi la. Tapi tak apalah, mungkin rawatannya cepat sebab saya rasa doktor ada dalam 6-7 orang / bilik.

Saya cari bangku yang hujung sekali. Boleh sandarkan kepala kat dinding. Maklumlah, perut dah membesar, duduk pun tak selesa. Tapi apa boleh buat, kalau tak tunggu takut terlepas pula.

Tunggu punya tunggu, terlelap, terjaga, terlelap balik, nombor saya tak sampai - sampai lagi. Lambatnya..... Perut dah makin tak selesa, lapar lagi. Bila nak sampai giliran ni ? Belakang pun dah sakit sangat sebab duduk terlampau lama. Kalau nak diikutkan, nak je saya minta giliran saya dipercepatkan sebab saya sarat mengandung. Tapi bila tengok pesakit lain kebanyakannya orang - orang tua, sian pulak rasanya. Saya tak boleh pentingkan diri walaupun rasa sakit belakang waktu tu menyebabkan saya rasa nak menjerit sekuat hati. Sakit betul la....

Tunggu punya tunggu, lelap balik, jaga balik, berkat kesabaran saya akhirnya giliran saya pun sampai. Tahu pukul berapa ? Ya...tepat pukul 4 petang. Nombor giliran saya dipanggil. Setelah disuruh tarik nafas 3 kali dibelakang dan 3 kali di depan, doktor jantung pun berkata " jantung puan ok, lepas ni tak perlu buat follow up lagi. Puan boleh balik. Itu aje ? 5 minit je jumpa doktor sedangkan untuk menunggunya saya menghabiskan masa daripada pukul 9 pagi hingga 4 petang ? Tak patut, tak patut. Isk, geramnya saya....

Friday, February 19, 2010

Salam mesra kawan - kawan. Selamat bertemu kembali. Pada entry saya yang lepas, saya menceritakan tentang kejayaan dua orang rakan saya dalam dunia perniagaan. Kejayaan mereka telah menjadi pendorong kepada saya untuk memajukan diri sendiri dan bergerak selangkah ke hadapan. Tapi bagaimana nak mula yea ? Siapa nak ajar saya ? Kalau pergi ke seminar-seminar perniagaan atau motivasi, RM 400 - RM 500 dah tentu lebur sebagai bayaran. Belum modal buat bisnes lagi. Ah, cari kat internet jelah, mudah - mudahan boleh dapat yang harga berpatutan.

Sebelum tu saya nak beritahu kawan - kawan, siapa role - model saya. Dah tentulah Irfan Khairi, anak muda yang telah menjadi jutawan pada usia 25 tahun. Saya juga meminati pakar perunding motivasi Dato' Dr. Fadzilah Kamsah, Azizi Ali, Chef Li dan mereka - mereka yang telahpun menjadi jutawan dan berjaya dalam bidang masing - masing.

Setelah saya mengikuti blog Irfan Khairi, saya dapati beliau telah banyak menghasilkan ebook terutamanya rahsia - rahsia kejayaan beliau. Salah satu ebook yang terlaris adalah Mentor Jutawan iaitu rahsia, minda, strategi dan teknik 8 Mentor Jutawan Malaysia. Siapa 8 Mentor Jutawan tu ???

8 Mentor jutawan tu ialah :-

1 ) Dato' Dr. Fadzilah Kamsah - Mentor kepada mentor iaitu seorang pakar motivasi yang tak perlu diperkenalkan lagi.

2 ) Azizi Ali - Jurulatih Jutawan - Pakar kewangan no. 1 Malaysia dan penulis buku terkenal.

3 ) Chef Li ( Dato' Dr. Rusly ) - Jutawan senyap dalam bidang masakan. Beliau memulakan perniagaan gerai dan berhenti kerja sebagai pegawai bank bergaji besar sehingga dikritik hebat oleh keluarga dan kenalan.

4 ) Dato' Dr. Azman Ching ( Jutawan MLM ) yang akan mendedahkan rahsia menjadi jutawan MLM dengan lebih 250000 orang downline.

5 ) Billi Lim - Jutawan Berani Gagal - penulis dan speaker yang terkenal memberi fokus bahawa kegagalan adalah sebagai satu batu loncatan untuk berjaya.

6 ) Dato' Hussamuddin - Pengasas Kumpulan Karangkraf - beliau bermula dengan kedai majalah kecil kepada penerbit terbesar di Malaysia.

7 ) Abang Abu - Usahawan/ motivator/jutawan dari Singapura. Mengalami satu kemalangan ngeri yang meragut nyawa ibu bapanya dan hampir meragut nyawanya juga. Telah bangun dan menentang arus serta menjadi jutawan pada umur 26 tahun.

8 ) Irfan Khairi - Jutawan Internet. Pernah bekerja sebagai tukang cuci pasaraya dan tandas selama dua tahun untuk mengumpul wang membeli buku motivasi dan ceramah motivasi.

Setiap ikon jutawan yang berkongsikan ilmu di dalam ebook ini telah terbukti kejayaan mereka di mata masyarakat. Strategi - strategi yang mereka gunakan adalah strategi - strategi jutawan seluruh dunia, bermula daripada zero, sehingga menjadi hero.

Saya syorkan pada kawan - kawan agar memiliki ebook ini. Pada saya semua orang yang ingin berjaya dan mengubah hidup, perlu memiliki ebook ini. Harganya pun berpatutan, cuma RM 40 sahaja. Kalau RM 40 tu kita isi minyak kereta, cuma boleh bertahan 2,3 hari sahaja. Kalau pergi kedai runcit pun, RM 40 tu hanya dapat beli barang yang kecil - kecil sahaja. Kalau buat beli rokok, lagi habis jadi abu sahaja. Kalau Irfan Khairi sanggup cuci tandas selama 2 tahun untuk mengumpul wang membeli buku motivasi, mengapa tidak kita, lelap mata sahajalah RM 40 untuk membeli ebook yang tidak ternilai harganya ini kerana pulangannya sangat berbaloi - baloi.

Kata Irfan Khairi, "Kejayaan adalah berjangkit". Kalau kita nak berjaya, kita perlu ikut apa yang orang - orang yang telah berjaya lakukan dan kita juga akan turut mencapai kejayaan. Bak kata orang, kalau kita berkawan dengan tukang besi, percikan apinya akan kena juga pada kita. Lebih baik kita berkawan dengan mentor - mentor jutawan ni. Sekurang - kurangnya aura
' kejutawanan ' ( ada ke perkataan ni ? ) akan terkena juga kepada kita. Jom kawan - kawan. Jom kita jadikan mentor - mentor jutawan ni sebagai idola kita dengan memiliki ebook Mentor Jutawan. Jom..... Klik link di bawah...
Pelajari Minda, Strategi dan Teknik Kekayaan 8 Ikon Jutawan Malaysia!
Kini, ikon usahawan Jutawan, Jurulatih Jutawan, Jutawan MLM, Jutawan Senyap, Jutawan Berani Gagal dan Jutawan Internet mendedahkan strategi SEBENAR DAN SATU-SATUNYA CARA bagaimana ANDA boleh mencapai kejayaan dalam bidang kewangan dengan cepat!

Tuesday, February 16, 2010

Selamat berjumpa kembali. Bagaimana cuti tahun baru cina ? Seronok ? Bagi yang start kerja hari ni malasnya nak bersiap pergi kerja. Rasa nak sambung tidur je. Nasib baik cuti sekolah jalan tak jem. Bagi yang cuti seminggu, tentulah masih ada di kampung lagi. Tenang fikiran duduk di kampung. Tapi ahad nanti kena bertolak awallah. Kalau tak, naik darah balik menghadap jem kat highway.

Saya, cuti raya cina ni ada kat KL. Dua hari berturut - turut kawan buat kenduri kesyukuran. Pergi, jangan tak pergi. Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari, betul tak ? Makanannya sedap - sedap belaka. Ada ayam masak pedas, rendang daging, dalca, dan dua tiga menu lain. Ditambah pula hidangan pencuci mulutnya yang memang sesuai dengan cuaca panas sekarang ni iaitu dadih dan buah limau serta air oren. Fuh, kenyang memakannya. Anak - anak pula diberi sebungkus gula - gula yang diikat cantik. Apalagi, itu jelah yang dihadap sampai lupa makan nasi.

Kedua - dua kawan saya ini buat kenduri kesyukuran. Seorang pindah rumah baru dan salah seorang anaknya birthday, dan seorang lagi juga pindah rumah baru dan baru pulang daripada mengerjakan haji di Mekah. Alhamdulillah... rezeki orang. Kawan saya yang pertama tu beli tanah di sebuah kampung di Bangi dan mendirikan rumah sebuah ( banglo ) di sana manakala kawan saya yang seorang lagi membeli rumah berkembar tujuh bilik dengan kawalan keselamatan. Kedua - dua rumah tersebut berharga lebih setengah juta !.

Apa yang menarik untuk saya kongsi ialah kedua - dua kawan saya ini bekerja sendiri. Hampir sepuluh tahun dulu salah seorang kawan saya ini bekerja makan gaji sama seperti saya. Namun kontraknya tidak disambung pegawai atasannya yang tidak suka cara beliau. Kawan saya itu mengambil keputusan untuk bekerja sendiri dengan membuka sebuah butik kecantikan. Hasil kerja keras beliau, kini beliau boleh berbangga dengan lima cawangan beliau dan kini dalam proses untuk membuka cawangan yang keenam.

Memang betul kata orang, kalau nak kaya kena buat bisnes. Kalau betul caranya, dan dengan izin Allah, kita boleh hidup mewah. Kalau kerja makan gaji ni, cukup bulan, dapat gaji habis gaji sajalah. Tapi alhamdulillah, saya tetap bersyukur. Walaupun tak kaya, tetapi makan pakai sekeluarga dan sekolah anak - anak cukup semuanya. Cuma bila tengok kawan kita boleh mencapai kejayaan dengan usia yang masih muda, keinginan di hati untuk mencuba terasa seperti membuak - buak.

Tengoklah, mungkin lepas bersalin nanti saya nak bisnes sesuatu. Tapi bukan yang bermodal besarlah. Saya tak berani. Setakat modal kecil - kecil beranilah saya. Kita kena berani mencuba dan berani untuk gagal. Kawan - kawan pun, jomlah berbisnes. Mana tahu tuah masing - masing.Cuma satu saya nak pesan, kalau tengok rezeki orang tu lebih dan mewah daripada kita, janganlah rasa iri hati dan mahu menjatuhkan. Sebaliknya jadikanlah ia pendorang supaya rezeki kita pun akan menjadi begitu juga, suatu hari nanti. Insyaallah......

Friday, February 12, 2010

Tadi saya berkunjung ke sebuah pusat membeli - belah yang terkemuka di ibukota. Ada sale !. Tempat ni kalau ada sale memang meriah. Potongan sampai 70% pun ada. Mana tak gila. Orang ramai terutama kaum wanita bersesak - sesak di dalamnya. Adegan tarik - tarik baju yang nak dibeli, langgar bahu, beratur panjang malah ada yang dah duduk diatas lantai menunggu giliran untuk membayar. Dah biasa sangat dah tengok senario macam ni. Terutama bila tiba hari jumaat yang waktu rehatnya panjang.

Sekarang ni pun raya cina dah dekat. Tentulah banyak sale. Tapi saya terperasan sesuatu la. Yang tarik - tarik baju, yang langgar - langgar bahu, yang berbaris panjang tunggu giliran nak bayar kebanyakannya wanita yang memakai tudung. Eh, siapa yang raya sebenarnya ni ?.

Balik shopping buka facebook. Tengok kot - kot ada kawan hantar message. Baca - baca sikit nak tahu perkembangan terkini. Ada kawan tulis : Hari ni last kerja. Esok balik kampung. Yahoo...
Ada juga yang tulis : Kajang - Ipoh - Aloq Setaq - Penang- Aloq Setaq - Ipoh - Kajang ...confirm penat masa CNY nanti... Hahaha... yang tulis tu kawan - kawanku yang berbangsa melayu. Eh, siapa yang raya sebenarnya ni ?.

Baru sebentar tadi adik angkatku, Ita hantar message kat handphone : Kak, petang ni nak balik kampung. Sekolah cuti seminggu. Bestnya, yahoo.... Isk isk isk, siapa yang raya sebenarnya ni ?.

Tak kisahlah siapa yang raya sebenarnya. Mana - mana perayaan kat Malaysia ni, orang kita memang nombor satu. Bab membeli - belah, bab balik kampung memang nombor satu. Lebih - lebih lagi cuti sekolah seminggu. Takkan nak lepaskan peluang keemasan kot. Saya ni pun sebab dah dekat sangat nak bersalin. Takut terbersalin dalam keta pulak. Kalau tak.... saya pun nak balik kampung jugak !!! Anyway pesanan daripada saya, sesiapa yang balik kampung tu berhati - hatilah di jalan raya. Bye...

Wednesday, February 10, 2010

Seronoknya Saya.....


Apa khabar kawan - kawan ? Saya seronoklah hari ni. Apa yang menyeronokkan sangat tu ? Malu sebenarnya nak bagitau. Kawan - kawan nak tau ? Tak nak ? Tak nak pun saya bagitau jugaklah.

Sebelum tu saya nak bagitau, saya baru sahaja menceburi dunia blog ni hujung tahun lalu. Walaupun saya buta IT (huhuhu) semangat saya berkobar - kobar ingin memiliki blog sendiri. So, saya paksa suami saya createkan satu blog baru untuk saya (sian suami saya, saya ni kan buta IT).

Bila dsuterawangi ni wujud, saya mula menulis tentang pelbagai topik. Seronok dapat luahkan apa yang kita rasa dalam blog kita sendiri. Dah jadi 'addict' pulak. Topik saya pelbagai dan saya boleh tulis apa yang saya suka tapi saya cuba elakkan menulis berkenaan dengan politik, isu panas atau orang perseorangan takut nanti kena saman.

Tapikan, dah banyak yang saya tulis ( lebih dari 2 tu banyaklah ) saya tengok pengunjung yang datang ke blog saya banyak tu juga dalam 5-6 orang. Sampai satu tahap tak ada orang langsung.
Sedih saya tau. Macam - macam saya buat tapi dok macam tu jugak. Sampailah kelmarin suami saya sarankan supaya saya mendaftar dengan www.gengblogger.com . Tempat berkumpul blogger - blogger dan tempat mencari ilmu untuk blogger baru macam saya.

Semalam saya mendaftar dan pingkan artikel saya ( ping tu apa ha ? ) dan pengunjung blog saya naik kepada 15 orang. Ha... itulah yang buat saya seronok sangat tu. Walaupun tak sebanyak orang lain yang dah otai tu, tetapi sekurang - kurangnya ia memberi semangat kepada saya untuk terus menulis dan terasa dihargai.

Sekarang ni saya belajar - belajar bagaimana nak berinteraksi atau mengambil bahagian dalam gengblogger tu. Sikit - sikitlah. Saya belum pandai lagi. Saya harap dapat tunjuk ajar daripada otai - otai semua terutama bagaimana nak menaikkan trafik. Saya juga rasa seronok kerana dapat mengenali orang - orang yang hobinya sama macam saya dalam gengblogger ni.

Ini bukan artikel kipas ye. Ini promote free je. Tak ada udang sebalik mee pun. Saya pun tak kenal siapa owner gengblogger ni. Anyway terima kasih sebab terima saya menyertai geng ini dan tolong beri saya tunjuk ajar dalam menerokai dunia blog ni. Jumpa lagi.....

Sunday, February 7, 2010

HEBATNYA BONSAI !!!

Bonsai merupakan salah satu cabang seni taman yang semakin mendapat perhatian pencinta tanaman hiasan kerana bentuknya yang unik dan istimewa. Ia merupakan proses membentuk sepohon pokok biasa menjadi sepohon pokok miniatur yang sungguh mempesonakan.

Sejarah bonsai dipercayai bermula seawal 2,000 tahun lalu semasa Dinasti Han di China dan telah dibangunkan dalam bentuk baru di China, Jepun, Korea dan Vietnam.Pada mulanya, masyarakat Jepun menggunakan pokok-pokok bantut yang ditanam dalam bekas untuk menghias rumah dan taman, Semasa era Tokugawa, landskap taman menjadi semakin penting dengan pokok-pokok seperti azalea dan maples. Pokok bonsai paling tua yang masih ada dikatakan dalam koleksi Happo-en (sebuah taman dan restoran eksklusif) di Tokyo, Jepun yang berusia antara 400 hingga 800 tahun.

Sekarang ini di Malaysia, bonsai mempunyai peminatnya yang tersendiri. Ramai yang sanggup mencari ke serata ceruk untuk mendapatkan pokok bonsai yang cantik dan ramai juga yang sanggup berhabis duit untuk hobi yang satu ini. Bonsai mempunyai 4 teknik penanaman iaitu dari biji benih, teknik keratan batang, kaedah tut dan pokok yang diambil dari hutan. Sekiranya kita bermula dengan biji benih, kita memerlukan masa bertahun - tahun untuk mendapatkan bonsai yang telah tua berbanding jika mengambilnya dari hutan. Ada juga yang mengambil jalan singkat dengan membelinya di nursery yang banyak menjual pokok bonsai tetapi kepuasannya tidak begitu terasa berbanding jika kita membentuknya sendiri.

Terdapat pelbagai bentuk atau stail bonsai di pasaran. Antara yang popular ialah batang berlingkar (twisted trunk), lekat di batu, literati, batang lurus, batang berlengkuk, batang condong (leaning trunk), batang dihembus angin (windswept), bentuk penyapu (broom style), lentur ke bawah (cascade), multiple trunk, raft style dan hutan. Kesemuanya cantik dan terpulang kepada kreativiti pemiliknya sendiri. Bonsai yang cantik biasanya memukau pandangan sesiapa jua yang melihatnya buat kali pertama.

Menjaga bonsai bukanlah sesukar yang disangka. Pokok bonsai selalunya terdiri daripada pokok yang tahan lasak, berdaun kecil dan halus seperti pokok asam jawa, melati/jeliti, pokok cucur atap, ara dan sebagainya.. Ianya ditanam didalam pasu kecil agar pertumbuhannya terbantut dan dibiarkan terdedah kepada cahaya matahari. Air perlu disiram dua kali sehari dan pokok dibaja dua kali seminggu. Dawai dililit untuk membentuk pokok seperti yang kita mahu dan selepas empat bulan, dawai dibuka dan pokok dicantas sekali lagi. Kemudian dahan dililit semula dengan dawai. Proses ini dibuat berkali - kali sehingga kita berpuas hati dengan bentuk yang kita inginkan.

Pokok bonsai tidak memerlukan tempat yang luas. Sekiranya kita tinggal di rumah teres mahupun apartmen, kita masih boleh lagi menjadikan bonsai sebagai hobi kita. Namun begitu sesiapa yang ingin menceburi bidang ini perlulah bersifat sabar, kreatif, teliti dan rajin serta melakukannya dengan sepenuh hati kerana pokok ini tidak akan menjadi cantik dalam sekelip mata.

;;