Tuesday, February 16, 2010
Selamat berjumpa kembali. Bagaimana cuti tahun baru cina ? Seronok ? Bagi yang start kerja hari ni malasnya nak bersiap pergi kerja. Rasa nak sambung tidur je. Nasib baik cuti sekolah jalan tak jem. Bagi yang cuti seminggu, tentulah masih ada di kampung lagi. Tenang fikiran duduk di kampung. Tapi ahad nanti kena bertolak awallah. Kalau tak, naik darah balik menghadap jem kat highway.
Saya, cuti raya cina ni ada kat KL. Dua hari berturut - turut kawan buat kenduri kesyukuran. Pergi, jangan tak pergi. Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari, betul tak ? Makanannya sedap - sedap belaka. Ada ayam masak pedas, rendang daging, dalca, dan dua tiga menu lain. Ditambah pula hidangan pencuci mulutnya yang memang sesuai dengan cuaca panas sekarang ni iaitu dadih dan buah limau serta air oren. Fuh, kenyang memakannya. Anak - anak pula diberi sebungkus gula - gula yang diikat cantik. Apalagi, itu jelah yang dihadap sampai lupa makan nasi.
Kedua - dua kawan saya ini buat kenduri kesyukuran. Seorang pindah rumah baru dan salah seorang anaknya birthday, dan seorang lagi juga pindah rumah baru dan baru pulang daripada mengerjakan haji di Mekah. Alhamdulillah... rezeki orang. Kawan saya yang pertama tu beli tanah di sebuah kampung di Bangi dan mendirikan rumah sebuah ( banglo ) di sana manakala kawan saya yang seorang lagi membeli rumah berkembar tujuh bilik dengan kawalan keselamatan. Kedua - dua rumah tersebut berharga lebih setengah juta !.
Apa yang menarik untuk saya kongsi ialah kedua - dua kawan saya ini bekerja sendiri. Hampir sepuluh tahun dulu salah seorang kawan saya ini bekerja makan gaji sama seperti saya. Namun kontraknya tidak disambung pegawai atasannya yang tidak suka cara beliau. Kawan saya itu mengambil keputusan untuk bekerja sendiri dengan membuka sebuah butik kecantikan. Hasil kerja keras beliau, kini beliau boleh berbangga dengan lima cawangan beliau dan kini dalam proses untuk membuka cawangan yang keenam.
Memang betul kata orang, kalau nak kaya kena buat bisnes. Kalau betul caranya, dan dengan izin Allah, kita boleh hidup mewah. Kalau kerja makan gaji ni, cukup bulan, dapat gaji habis gaji sajalah. Tapi alhamdulillah, saya tetap bersyukur. Walaupun tak kaya, tetapi makan pakai sekeluarga dan sekolah anak - anak cukup semuanya. Cuma bila tengok kawan kita boleh mencapai kejayaan dengan usia yang masih muda, keinginan di hati untuk mencuba terasa seperti membuak - buak.
Tengoklah, mungkin lepas bersalin nanti saya nak bisnes sesuatu. Tapi bukan yang bermodal besarlah. Saya tak berani. Setakat modal kecil - kecil beranilah saya. Kita kena berani mencuba dan berani untuk gagal. Kawan - kawan pun, jomlah berbisnes. Mana tahu tuah masing - masing.Cuma satu saya nak pesan, kalau tengok rezeki orang tu lebih dan mewah daripada kita, janganlah rasa iri hati dan mahu menjatuhkan. Sebaliknya jadikanlah ia pendorang supaya rezeki kita pun akan menjadi begitu juga, suatu hari nanti. Insyaallah......