Sunday, February 7, 2010

HEBATNYA BONSAI !!!

Bonsai merupakan salah satu cabang seni taman yang semakin mendapat perhatian pencinta tanaman hiasan kerana bentuknya yang unik dan istimewa. Ia merupakan proses membentuk sepohon pokok biasa menjadi sepohon pokok miniatur yang sungguh mempesonakan.

Sejarah bonsai dipercayai bermula seawal 2,000 tahun lalu semasa Dinasti Han di China dan telah dibangunkan dalam bentuk baru di China, Jepun, Korea dan Vietnam.Pada mulanya, masyarakat Jepun menggunakan pokok-pokok bantut yang ditanam dalam bekas untuk menghias rumah dan taman, Semasa era Tokugawa, landskap taman menjadi semakin penting dengan pokok-pokok seperti azalea dan maples. Pokok bonsai paling tua yang masih ada dikatakan dalam koleksi Happo-en (sebuah taman dan restoran eksklusif) di Tokyo, Jepun yang berusia antara 400 hingga 800 tahun.

Sekarang ini di Malaysia, bonsai mempunyai peminatnya yang tersendiri. Ramai yang sanggup mencari ke serata ceruk untuk mendapatkan pokok bonsai yang cantik dan ramai juga yang sanggup berhabis duit untuk hobi yang satu ini. Bonsai mempunyai 4 teknik penanaman iaitu dari biji benih, teknik keratan batang, kaedah tut dan pokok yang diambil dari hutan. Sekiranya kita bermula dengan biji benih, kita memerlukan masa bertahun - tahun untuk mendapatkan bonsai yang telah tua berbanding jika mengambilnya dari hutan. Ada juga yang mengambil jalan singkat dengan membelinya di nursery yang banyak menjual pokok bonsai tetapi kepuasannya tidak begitu terasa berbanding jika kita membentuknya sendiri.

Terdapat pelbagai bentuk atau stail bonsai di pasaran. Antara yang popular ialah batang berlingkar (twisted trunk), lekat di batu, literati, batang lurus, batang berlengkuk, batang condong (leaning trunk), batang dihembus angin (windswept), bentuk penyapu (broom style), lentur ke bawah (cascade), multiple trunk, raft style dan hutan. Kesemuanya cantik dan terpulang kepada kreativiti pemiliknya sendiri. Bonsai yang cantik biasanya memukau pandangan sesiapa jua yang melihatnya buat kali pertama.

Menjaga bonsai bukanlah sesukar yang disangka. Pokok bonsai selalunya terdiri daripada pokok yang tahan lasak, berdaun kecil dan halus seperti pokok asam jawa, melati/jeliti, pokok cucur atap, ara dan sebagainya.. Ianya ditanam didalam pasu kecil agar pertumbuhannya terbantut dan dibiarkan terdedah kepada cahaya matahari. Air perlu disiram dua kali sehari dan pokok dibaja dua kali seminggu. Dawai dililit untuk membentuk pokok seperti yang kita mahu dan selepas empat bulan, dawai dibuka dan pokok dicantas sekali lagi. Kemudian dahan dililit semula dengan dawai. Proses ini dibuat berkali - kali sehingga kita berpuas hati dengan bentuk yang kita inginkan.

Pokok bonsai tidak memerlukan tempat yang luas. Sekiranya kita tinggal di rumah teres mahupun apartmen, kita masih boleh lagi menjadikan bonsai sebagai hobi kita. Namun begitu sesiapa yang ingin menceburi bidang ini perlulah bersifat sabar, kreatif, teliti dan rajin serta melakukannya dengan sepenuh hati kerana pokok ini tidak akan menjadi cantik dalam sekelip mata.

0 Comments:

Post a Comment